TAPAH - Empat kampung masyarakat Orang Asli di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning boleh dikatakan kubu kuat Barisan Nasional (BN) sejak berpuluh tahun lamanya.
Tok Batin Kampung Sungai Kroh, Alang Mi Alang, 60, berkata, seramai 174 pemilih berdaftar termasuk 35 pengundi luar dalam kalangan Orang Asli akan membuang undi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Ayer Kuning yang berbaki dua hari lagi.
Beliau selaku Ketua Cawangan UMNO kampung terbabit berkata, pihaknya akan memastikan peratusan keluar mengundi mencapai tahap 100 peratus sama seperti tahun-tahun sebelumnya.
“Saya fikir mungkin peratusan keluar mengundi capai 100 peratus dan malam ini kita mulai hubungi pengundi luar iaitu golongan bekerja untuk pulang ke Ayer Kuning esok.
“Kalau dari segi pengangkutan tak ada masalah kerana di sini (awal pagi) akan disediakan empat kenderaan untuk penduduk tempatan, manakala tujuh lagi buat pengundi luar dan selebihnya mereka naik motor.
“Boleh dikatakan empat kampung Orang Asli di DUN Ayer Kuning seperti Kampung Sungai Kroh, Kampung Sungai Kurong Dalam, Kampung Sungai Geroyang dan Kampung Sungai Merbau memang kubu kuat BN, kami tiada masalah,“ katanya.
**media[3098353]**
Alang Mi berkata demikian kepada Sinar Harian ketika program gotong royong masyarakat Orang Asli Kampung Sungai Kroh, di sini pada Khamis.
PRK DUN Ayer Kuning menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon BN, Dr Ustaz Yusri Bakir; Perikatan Nasional (PN), Abd Muhaimin Malek dan Parti Sosialis Malaysia (PSM), Bawani KS.
Ditanya mengenai harapan sekiranya BN sekali lagi berjaya mempertahankan kerusi DUN Ayer Kuning, beliau berpendapat, calon perlu meneruskan legasi penyandang, Allahyarham Ishsam Shahruddin yang sentiasa turun padang untuk meninjau kawasan.
Malah beliau juga berharap agar infrastruktur di Kampung Sungai Kroh dapat ditambah baik misalnya laluan masuk diturap, padang dan sistem saliran atau longkang.
“Arwah memang sangat baik dan tak ada masalah dengan masyarakat Orang Asli. Contohnya, kalau setiap kali hari minggu beliau mesti datang.
“Jadi, saya berharap sangat perkara ini diberi perhatian,” ujarnya lagi.